KOTA KINABALU – Seramai 30 ahli jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) Sabah mengambil keputusan untuk keluar daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu semalam.
Keputusan berkenaan diumumkan selepas mesyuarat dan sekaligus membubarkan NGO itu di Sabah.
Bekas pengerusi MN Sabah, Jismit Japong berkata, pendirian itu dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa dan kepimpinan pusat NGO terbabit.
Beliau berkata kepimpinan pusat MN juga tidak membuat sebarang perbincangan dengan Sabah berhubung pelantikan dua Ahli Dewan Tertinggi walaupun sebelum ini memberi mandat autonomi kepada MN Sabah.
“Pelantikan itu bercanggah dengan prinsip dan konsep MN kerana perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran MN Sabah, perlu juga pihak MN Sabah diberi ruang untuk perbincangan bersama demi keutuhan MN,” katanya.
Jismit berkata surat pembubaran NGO itu akan diserah kepada MN pusat dalam tempoh 14 hari dan pihaknya kini merancang menubuhkan NGO baharu yang memfokus kepada kebajikan dan ekonomi Sabah.







