PERSATUAN Alumni Penghuni Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (PAPAYTK) tampil membantah keputusan menutup Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) dalam tempoh enam bulan, menyifatkannya sebagai keputusan terlalu drastik yang boleh menjejaskan akses pendidikan pelajar B40 serta meruntuhkan legasi hampir empat dekad institusi itu.
Dalam kenyataan rasmi, PAPAYTK menegaskan bahawa AYTK bukan sekadar asrama, tetapi sebuah institusi sosial yang telah membantu ribuan pelajar luar bandar keluar daripada kepompong kemiskinan melalui sokongan akademik, asrama berstruktur dan budaya bimbingan yang terbukti berkesan.
Penutupan enam bulan terlalu singkat dan mengabaikan hak pelajar
Menurut PAPAYTK, keputusan mengejut itu tidak memberi ruang mencukupi untuk pelajar menyesuaikan diri terutama calon SPM, selain berisiko mencetuskan ketidakstabilan akademik dan psikologi. Persatuan itu turut menyifatkan notis pemindahan enam bulan sebagai terlalu ringkas dan tidak mengambil kira keadaan keluarga berpendapatan rendah.
Peranan besar alumni: RM55,000 untuk reunion, RM14,000 Tabung Syawal, empat mesin Coway
PAPAYTK turut mengetengahkan rekod sumbangan alumni yang konsisten membantu AYTK sejak bertahun-tahun termasuk pembiayaan kebajikan, program pembangunan pelajar, bantuan kecemasan, peralatan asrama, serta penglibatan dalam Blueprint Pembangunan Insan Terengganu.
“AYTK terbukti menjadi jambatan mobiliti sosial bagi pelajar B40. Usaha kami selama ini menunjukkan hubungan alumni dan AYTK bukan sekadar nostalgia tetapi satu ekosistem pendidikan,” tegas persatuan itu.
AYTK vs IMTIAZ: Dua fungsi berbeza, bukan pengganti
PAPAYTK turut menolak hujah bahawa AYTK perlu ditutup bagi memberi laluan kepada Imtiaz.
Menurut mereka, Imtiaz ditubuhkan untuk pelajar cemerlang dengan tapisan akademik ketat, manakala AYTK melahirkan pelajar sederhana yang memerlukan bimbingan dan bimbingan sahsiah yang lebih dekat.
“Jika AYTK diganti sepenuhnya dengan Imtiaz, pelajar sederhana dan B40 akan hilang akses kepada model pendidikan berasrama yang terbukti berhasil,” katanya.
Kos rendah, impak tinggi hanya RM60 sebulan
PAPAYTK menegaskan bahawa AYTK masih kekal relevan kerana mampu menawarkan kemudahan lengkap asrama, makan, kelas malam, bimbingan akademik dan keagamaan – dengan bayaran kurang RM60 sebulan, menjadikannya antara model pendidikan paling mampu milik di Terengganu.
Cadangan penyelesaian: Penstrukturan semula, kerjasama GLC, dan pengukuhan modul akademik
Untuk memastikan kelangsungan AYTK, PAPAYTK mencadangkan beberapa langkah alternatif seperti:
penstrukturan semula keutamaan kewangan,
kerjasama pembiayaan dengan GLC, sektor swasta dan alumni,
memposisikan AYTK sebagai pelengkap kepada Imtiaz, bukan pasangan yang perlu diganti.
Ini bukan isu politik, ini masa depan anak-anak B40
PAPAYTK menolak sebarang label politik terhadap bantahan mereka, sambil menegaskan bahawa mereka hanya memperjuangkan hak pelajar dan kesinambungan institusi yang terbukti berkesan.
Persatuan itu turut merayu agar Kerajaan Negeri dan Yayasan Terengganu menangguhkan keputusan, serta menjalankan kajian terperinci sebelum merobohkan legasi 40 tahun AYTK.


