
LUNDU – Pihak berkuasa di Sarawak dicadangkan untuk melantik individu khusus bagi memantau murid dan pelajar sekolah yang menaiki bot menyeberangi sungai ke sekolah.
“Walaupun peraturan sudah ada, penguatkuasaan adalah perlu untuk memastikan keselamatan pelajar. Ini adalah untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan seperti memakai jaket keselamatan.
“Lantikan boleh dibuat melalui kerjasama antara jawatankuasa kampung dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah yang terlibat,” cadang Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Beliau mencadangkan supaya langkah serupa seperti yang dilakukan di sekolah-sekolah di darat dan individu dilantik itu perlu membantu pelajar melintas jalan dengan selamat dan menyeberangi sungai menggunakan perahu ke sekolah.
“Ini menjadi keperluan mendesak selepas insiden perahu karam di Sungai Kayan, Lundu”, ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau juga menyampaikan bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
Selain itu, beliau juga memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjalankan sesi temu bual dengan mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut untuk mengenal pasti keperluan dan sokongan yang diperlukan, termasuk bantuan kaunseling dan kelengkapan sekolah.






