
PENERIMAAN rakyat terhadap pelbagai inisiatif di bawah Kerajaan MADANI menunjukkan peningkatan ketara, selari dengan kefahaman masyarakat yang semakin mendalam terhadap manhaj serta hala tuju Malaysia MADANI sebagai dasar pentadbiran negara.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, perkembangan itu membuktikan gagasan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sekadar slogan, sebaliknya dasar yang semakin difahami dan dirasai manfaatnya oleh rakyat pelbagai lapisan.
Beliau berkata, asas Malaysia MADANI berakar daripada pengalaman politik serta perjuangan hampir lima dekad Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri ke-10, menjadikan gagasan itu lebih matang, inklusif dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Malaysia MADANI ini difahami dalam pelbagai perspektif. Ada yang melihatnya melalui kerangka Sahifah Madinah, ada yang memahami konsepnya melalui literatur pemikiran dan kerohanian seperti ditafsirkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Apa pun tafsirannya, semuanya selari dengan semangat MADANI yang mengangkat nilai kebenaran, pemikiran tinggi dan martabat insan. Yang paling penting adalah framing yang jelas supaya rakyat memahami dasar ini,” katanya dalam podcast Minda Tok Abah, pada Jumaat.
Ismail berkata, cabaran utama JKOM adalah memastikan komunikasi dasar kerajaan disampaikan secara tepat, terutama ketika kerajaan melaksanakan pelbagai program pro-rakyat yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup mereka.
Katanya, penerimaan masyarakat terhadap dasar itu semakin ketara apabila pelbagai inisiatif kerajaan mendapat sambutan positif, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Rahmah dan inisiatif di bawah Payung RAHMAH.
“Isu yang suatu ketika dahulu dianggap kritikal seperti bekalan telur kini tidak lagi menjadi permasalahan. Program BUDI termasuk BUDI MADANI (BUDI95) turut menjadi sebutan rakyat kerana mereka melihat kesannya secara langsung.
“Ini menunjukkan rakyat menerima dan menghayati dasar-dasar kerajaan. MADANI bukan lagi wacana abstrak, tetapi manfaat yang mereka rasai,” katanya.
Jelas Ismail, pembinaan kefahaman terhadap Malaysia MADANI adalah usaha berterusan, namun penerimaan rakyat yang semakin positif menunjukkan dasar itu berada pada landasan yang tepat dalam memperkukuh kestabilan dan kesejahteraan negara.


