
PENGALAMAN luas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), menjadi faktor penting dalam mengurus persepsi rakyat dan memastikan kestabilan kerajaan, kata Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi.
Dalam sesi podcast Minda Tok Abah yang disiarkan pada Jumaat, beliau menegaskan bahawa pembinaan kerajaan hari ini bukan sekadar bergantung pada struktur pentadbiran, tetapi turut berpaksikan keupayaan mengurus persepsi masyarakat dengan berkesan.
Budiman berkata, persepsi merupakan elemen paling mencabar kerana ia ‘belum tentu benar, tetapi kelihatan benar’ dan mampu melekat dalam minda rakyat sehingga mempengaruhi penilaian mereka terhadap kerajaan.
“Kalau ayam jantan berkokok bersendirian, lambat tanda hari nak siang. Maksudnya, semua ‘ayam jantan’ dalam Parlimen mesti bersuara bersama supaya suara Perdana Menteri tidak dilihat keseorangan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan penyelarasan komunikasi antara semua pemimpin kerajaan.
Katanya, cabaran komunikasi kerajaan hari ini turut berpunca daripada kepelbagaian latar belakang dan ideologi parti dalam kerajaan perpaduan, menyebabkan penyampaian mesej kadangkala tidak seragam walaupun matlamatnya sama.
“Dulu, ada laluan teratur dalam sistem bermula sebagai Setiausaha Politik, kemudian Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri, Menteri dan akhirnya Perdana Menteri. Perjalanan itu membentuk kefahaman perjuangan. Tetapi sekarang, ramai menteri datang daripada blok dan ideologi berbeza, dilantik demi kestabilan negara,” katanya.
Justeru, Budiman menegaskan bahawa tidak semua menteri melalui proses pembinaan pengalaman yang sama, menyebabkan ada yang belum menghayati tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan sepenuhnya.
Mengulas mengenai PMX, beliau berkata rekod dan perjalanan politik Anwar memberi kelebihan besar dalam mentadbir kerajaan.
“Dari sudut pengalaman, perjuangan dan apa yang beliau pernah lalui, semuanya telah dirasai sejak zaman beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dari segi liga Perdana Menteri, saya percaya beliau antara orator terbaik yang Malaysia pernah ada,” katanya.
Dalam perbincangan mengenai komunikasi politik, Budiman menjelaskan keperluan memahami asas ‘agenda setting’, ‘framing’ dan ‘priming’ bagi membentuk naratif kerajaan yang konsisten dan mudah difahami rakyat.
Beliau turut menekankan peranan penting koordinasi antara menteri, setiausaha politik dan setiausaha akhbar.
“Mereka mesti sentiasa berkomunikasi dan menentukan apa ‘banner’ persepsi yang hendak dibina. Jika sistem ini difahami dan diamalkan, mesej kerajaan akan lebih tersusun dan tidak bercanggah,” katanya.
Podcast tersebut menampilkan kupasan mendalam mengenai mekanisme pembentukan persepsi rakyat, strategi komunikasi kerajaan serta kemampuan PMX membawa naratif negara dengan lebih berkesan berdasarkan pengalaman panjangnya dalam pentadbiran dan politik.

