Lebih 500 maut akibat pelbagai bencana susulan ribut tropika

JAKARTA – Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat di tiga negara di Asia Tenggara meningkat melebihi 500 orang, menurut pihak berkuasa hari ini.

Difahamkan usaha bantuan untuk puluhan ribu penduduk yang dipindahkan diteruskan sepanjang hujung minggu.

Indonesia, Malaysia dan Thailand mengalami kemusnahan berskala besar selepas ribut tropika jarang berlaku terbentuk di Selat Melaka, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang selama seminggu.

Jumlah korban dilaporkan seramai 336 di Indonesia, 170 di Thailand dan dua kematian di Malaysia.

Pegawai penyelamat dan bantuan di negara-negara itu sehingga hari ini masih berusaha memperluaskan akses ke banyak kawasan dilanda banjir, walaupun paras air mulai surut dan puluhan ribu penduduk telah dipindahkan di ketiga-tiga negara.

Menurut statistik rasmi, lebih empat juta orang terjejas dengan hampir tiga juta di selatan Thailand dan 1.1 juta di barat Indonesia.

Dalam pada itu, di Teluk Bengal, satu siklon di Sri Lanka meragut 153 nyawa, manakala 191 lagi dilaporkan hilang dan lebih setengah juta orang terjejas di seluruh negara, menurut pihak berkuasa negara itu.

Di Indonesia, pasukan bantuan dan penyelamat menggunakan helikopter bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang sukar diakses menggunakan jalan darat di pulau Sumatera bahagian barat, di mana tiga wilayah teruk dilanda tanah runtuh dan banjir akibat hujan lebat.

Seorang jurugambar Reuters yang menaiki helikopter tentera laut di bandar terpencil Palembayan, Sumatera Barat, menyaksikan kawasan tanah dan rumah ditenggelami banjir.

Apabila helikopter mendarat di padang bola, puluhan penduduk sudah menunggu bantuan makanan.

Terdapat laporan mengenai penduduk mencuri barangan bantuan kerana terdesak di kawasan lain, menurut pegawai semalam.

Statistik rasmi menunjukkan 289 orang masih dilaporkan hilang dan 213,000 orang terpaksa dipindahkan.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand pula melaporkan jumlah kematian akibat banjir di selatan Thailand kini 170 orang, meningkat lapan orang berbanding semalam (Sabtu) dengan 102 lagi cedera.

Wilayah Songkhla mencatatkan bilangan korban tertinggi iaitu 131 orang.

Bandar Hat Yai, bandar terbesar di Songkhla, mencatatkan paras 335 milimeter hujan pada Jumaat – jumlah tertinggi sehari dalam tempoh 300 tahun – susulan beberapa hari hujan lebat berturut-turut.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 24,500 orang masih berada di pusat pemindahan sementara, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA).

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menamatkan amaran ribut tropika dan hujan berterusan semalam dengan ramalan cuaca cerah untuk kebanyakan kawasan, berbanding beberapa kawasannya dilanda hujan lebat dan angin kencang minggu lalu.

Kementerian Luar memaklumkan lebih 6,200 rakyat Malaysia dipindahkan daripada Thailand.

Hari ini, kementerian mengeluarkan nasihat kepada warganegara Malaysia yang berada di Sumatera Barat, Indonesia supaya mendaftar dengan konsulat tempatan untuk mendapatkan bantuan.

Seorang rakyat Malaysia berusia 30 tahun dilaporkan hilang susulan tanah runtuh di kawasan itu.

Related Posts

Gerbang Kemenangan jadi Kompleks Ketenteraan – Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pembinaan gerbang kemenangan berhampiran Washington akan turut berfungsi sebagai ‘kompleks ketenteraan’. Ia akan menempatkan dron dan penembak tepat, menjadikannya projek pembinaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar bincang konflik Gaza, ketegangan di Asia Barat dengan pemimpin BRICS

NEW DELHI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan di sela-sela majlis makan malam bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 untuk berbincang dengan beberapa pemimpin dunia mengenai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET