
SANDAKAN – Faktor cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan kelancaran pergerakan pengundi jika mereka hadir lewat, kata Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Abdul Said Pimping.
Beliau menyeru semua pengundi di kawasan itu supaya keluar awal menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
“Saya menyeru semua masyarakat di DUN Gum-Gum supaya datang seawal mungkin.
“Jangan berlengah, jangan tunggu hingga lewat kerana cuaca juga menjadi faktor penting untuk kita hadir ke lokasi pengundian dengan selesa.
“Saya amat berharap semua pengundi di kawasan ini keluar beramai-ramai untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita setiap lima tahun sekali,” katanya ketika ditemui media selepas membuang undi di Pusat Pembuangan Undi (PDM) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, hari pengundian yang berlangsung hari ini merupakan detik penting bagi memastikan kadar keluar mengundi di setiap pusat pengundian menunjukkan peningkatan berbanding PRN sebelum ini.
“Kita berharap peratus keluar mengundi meningkat di semua lokasi DUN yang terlibat.
“Itu harapan kami,” katanya.
Terdahulu, Abdul Said menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Sg Tiram Batu 19 pada pukul 10.57 pagi, diiringi isterinya.

Beliau bertanding di kerusi DUN Gum-Gum yang menyaksikan persaingan sembilan penjuru.
Penyandang kerusi itu sebelum ini ialah Arunarsin Taib dari Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memenangi kerusi dengan majoriti 269 undi.





