
INANAM – Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim, menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kokol, Manggatal, pada Sabtu.
Peto, yang juga Timbalan Pengerusi PKR Sabah, tiba pada pukul 9.36 pagi dan selesai membuang undi pada 9.43 pagi sebelum beredar selepas menyapa pengundi serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berdepan pertandingan 13 penjuru bagi kerusi Inanam, yang mempunyai 45,525 pengundi berdaftar.

Inanam merupakan salah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Sepanggar.
Proses pengundian di SK Kokol bermula pada 7.30 pagi dalam keadaan cuaca mendung, selepas hujan renyai pada awal pagi.
Pusat mengundi itu menempatkan empat saluran dan dijangka ditutup pada 5.30 petang.
Seramai 1,999 pengundi dijadual menunaikan tanggungjawab di pusat tersebut, dengan kehadiran pengundi sudah kelihatan sejak pintu dibuka.

Antara yang mencuri perhatian ialah seorang pengundi muda, Benny Beete, 19, dari Kampung Nalap yang pertama kali mengundi dan hadir bersama neneknya, Lokuyin Sonturi, 70.
Suasana di SK Kokol kekal teratur dengan aliran pengundi yang stabil sepanjang pagi.








