
SANDAKAN – Bekas Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap Albert Tei di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum pada pukul 5.05 petang tadi, susulan tuduhan fitnah yang mendakwa beliau menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
Menurut Shamsul Iskandar, tuduhan berkenaan adalah konspirasi jahat yang bertujuan memburukkan imej Perdana Menteri dan menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, terutamanya ketika musim kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
“Perbuatan ini jelas satu usaha terancang untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri.
“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk tujuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Shamsul Iskandar juga yakin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan segera dan sedia memberi kerjasama penuh, termasuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya diperlukan.





