Desak PMX letak jawatan: Pembangkang bagai menepuk air di dulang

APABILA Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh terlibat dalam kes rasuah, pembangkang segera mengecam dan mendesak agar beliau meletakkan jawatan dari tampuk pemerintahan pentadbiran negara.

Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, sikap pembangkang ini menunjukkan sikap gelojoh, semberono, tidak teliti dalam tindakan asalkan ia dapat menjadi tangkal baru untuk menghentam sekali gus dapat memburukkan imej Anwar.

Ironinya, Azhar menegaskan, pembangkang tidak melakukan perkara yang sama apabila terkena ke batang hidung sendiri.

“Gegak gempita seluruh alam. Seolah-olah, satu kes melibatkan pegawai sudah cukup untuk menggoncangkan kerusi Perdana Menteri. Malangnya, pembangkang menggunakan logik ini hanya diguna bila menyasar musuh politik bukan apabila kem sendiri bergelumang isu serupa, malah lebih parah mereka diam membisu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan sebagai Setiuasaha Politik kepada Perdana Menteri kerana dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Belum pun sempat 24 jam berita peletakan jawatan itu diumumkan, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari tampil dengan kenyataan yang mendesak Anwar patut mengikut jejak Shamsul Iskandar untuk meletakkan jawatan daripada terus menjadi Perdana Menteri.

“Tidak cukup Setpol yang resign, PMX sendiri wajib letak jawatan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, tindakan segera Perdana Menteri menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar membuktikan tanda integriti dan ketegasan beliau yang memang tegar memerangi rasuah.

“PMX ambil tanggungjawab, bukan sorok bawah karpet. Apa yang ramai terlepas pandang ialah tindakan segera PMX menerima peletakan jawatan pegawai terbabit adalah tanda integriti dan ketegasan. Kes itu diserahkan kepada siasatan SPRM tanpa gangguan, tanpa putar belit, tanpa dalih politik.

“Bukan sembunyi bawah meja, bukan tukar individu ke syarikat berkaitan kerajaan lain, bukan pindah ke negeri lain dan diam-diam terus berkuasa. Inilah beza antara memimpin dengan prinsip dengan memimpin dengan persepsi,” katanya.

Menyentuh sikap pembangkang sebelum ini, Azhar membidas pembangkang yang hanya diam membisu bahasa apabila beberapa kes rasuah yang melibatkan pemimpin mereka.

“Sebaliknya, apa yang pembangkang lakukan? Mari kita ingat semula apa yang mereka lakukan apabila anak MB Perlis disiasat SPRM, adakah beliau digesa letak jawatan sebagai MB Perlis?

“Dulu, bila CEO MBI Kedah dikaitkan isu rasuah, adakah Pas desak MB Kedah bertanggungjawab dan didesak letak jawatan?

“Yang ini kes profil tinggi melihatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin keluar masuk mahkamah, adakah beliau dikecam penyokong sendiri? Malah menantu dia lari ke luar negara kerana kes rasuah, penyokong pembangkang senyap sunyi jadi bisu.

“Yang terbaru, seorang Exco Terengganu, tulis surat rundingan terus kepada syarikat milik ADUN sendiri, adakah penyokong Pas kecoh suruh dia letak jawatan?

“Semua senyap. Sunyi. Seolah-olah kesalahan hanya salah bila dilakukan pihak lawan. Ini bukan prinsip. Ini hipokrasi,” katanya.

Justeru, Azhar menegaskan, Anwar tidak wajar meletakkan jawatan Perdana Menteri hanya kerana kesalahan pegawainya yang belum dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Kenapa PMX tidak wajar letak jawatan? Bagi saya, tiada salah laku peribadi dibuktikan. Kes yang berlaku bukan melibatkan PMX secara langsung. Beliau tidak dilaporkan terlibat atau bersubahat. Jadi mengapa dihukum atas kesalahan orang lain?

“Kedua, PMX telah ambil tindakan pantas dan telus. Beliau tidak melindungi, tidak berdolak-dalih, malah memberi ruang SPRM menyiasat tanpa gangguan. Ini contoh kepimpinan berintegriti.

“Jika ini standardnya, maka semua pemimpin terdahulu sudah lama tumbang, jika semua ketua perlu letak jawatan kerana salah laku pegawai bawahan, maka sejarah politik Malaysia perlu ditulis semula dengan barisan ‘bekas pemimpin’ yang panjang,” katanya.

Azhar juga mengingatkan, dalam politik, dosa sebenar bukan pada kesalahan, tetapi pada tindakan selepas kesalahan itu berlaku.

“PMX sudah tunjukkan contoh kepimpinan berani. Kalau pembangkang mahu bercakap soal moral dan integriti, mereka perlu mulakan dengan melihat cermin, bukan hanya melontar batu sembunyi tangan.

“Pembangkang sekarang betul seperti kata orang tua, “tepuk dulang, paku serpih, mengata orang, dia yang lebih,” sindir Azhar.

Related Posts

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

KUANTAN – Cadangan operasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak seimbang antara pengangkutan kargo dan penumpang dibimbangi tidak dapat memberi manfaat signifikan kepada orang ramai. Menteri Besar Pahang,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan pembangunan untuk Kelantan daripada RM3 bilion kepada RM8 bilion sebagai bukti keprihatinan terhadap pembangunan negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM