
SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Saratok selepas dipercayai terlibat dalam satu kes penipuan pinjaman wang dalam talian membabitkan kerugian RM11,228.84.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan pada 24 November lalu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas siasatan mendapati akaun bank miliknya digunakan dalam transaksi penipuan tersebut.
Mangsa, seorang lelaki berumur 49 tahun dari Kampung Melango, Saratok, pada awalnya melihat satu iklan pinjaman wang di Facebook pada 31 Oktober lalu sebelum berurusan dengan seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai warga Cina.
Mangsa kemudian membuat empat transaksi dalam talian menggunakan akaun Maybank miliknya ke beberapa akaun lain seperti diarahkan oleh suspek-suspek berkenaan.
Pada 7 November lalu, mangsa sekali lagi diminta memindahkan RM3,000 bagi tujuan didakwa sebagai “pengaktifan” akaun pembiayaan.
“Kemudian mangsa berasa curiga lalu menghubungi pihak bank yang memaklumkan bahawa urusan tersebut merupakan penipuan.
Mangsa terus membuat laporan polis di Balai Sungai Maong selepas menyedari dirinya telah ditipu.
Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku pemilik akaun CIMB yang digunakan dalam transaksi penipuan itu.
“Suspek turut mengaku menyerahkan kad ATM miliknya kepada seorang rakan, dipercayai bagi tujuan kegiatan penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Saratok pada 12 Disember ini.




