KUANTAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara membongkar kegiatan melombong emas secara haram hasil serbuan ke atas sebuah kawasan lombong di Kampung Bolok, Temerloh, Sabtu lalu.
Pasukan itu berkata, dalam serbuan Op Bersepadu Khazanah kira-kira jam 8 pagi, enam lelaki termasuk lima warga asing berusia 25 hingga 38 tahun ditahan.
Katanya, semasa serbuan dilakukan pekerja terbabit cuba melarikan diri namun mereka berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong emas itu disyaki dijalankan secara haram.
“Susulan itu, polis menahan dan merampas semua peralatan dan mesin jentera termasuk dua jengkaut, palong, mesin pam air serta peralatan mendulang emas yang digunakan untuk melombong dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.14 juta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelas kenyataan itu, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada polis Temerloh dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001, Seksyen 55(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.





