
KERAJAAN mempergiat tindakan bantuan dan penyelamatan berikutan situasi banjir yang semakin memburuk, melibatkan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau memantau secara rapat perkembangan bencana dan menerima laporan berkala daripada semua agensi bertanggungjawab.
Menurut Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama aset pelbagai agensi telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi memastikan semua mangsa dapat diselamatkan dan bantuan segera disalurkan.
“Menurut laporan yang diterima, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua aset agensi berkaitan sudah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, di samping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga sudah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke kawasan terjejas bagi membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di tujuh negeri.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri menyeru penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah demi keselamatan keluarga.
“Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan.
“Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.
“Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.









