
KALABAKAN – Berbaki empat hari lagi tempoh kempen sebelum seluruh 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai wakil rakyat baharu, pengundi Merotai mahukan ‘Yang Berhormat’ lebih prihatin dan memahami denyut nadi rakyat.
Seorang pengundi Merotai di Kampung Kijang, Ustaz Idris Masaliku, 73, berkata, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang berjiwa rakyat selalu turun padang ke kawasan berkenaan.
“Beliau mestilah seorang yang peduli dengan penduduk kampung, cari mana-mana penduduk yang boleh diberikan bantuan seperti di rumah-rumah daif atau yang ramai anak bersekolah.
“Dari sini bolehlah dia menyalurkan bantuan seperti paket makanan,” katanya.
Bagi Zubaidah Kotak, 40-an, penyelesaian isu rakyat amat penting dan perlu diselesaikan segera demi kesejahteraan rakyat.
“Macam jalan raya ni mahu ke Kota Kinabalu ke Kalabakan pun semua rosak jadi kalau boleh diperbaiki selain menyeru agar bantuan keweangan juga diberikan kepada peniaga-peniaga kecil,” katanya.
Nuur Aisyah Shafai, 32, juga senada dan berharap agar isu peluang pekerjaan anak Merotai diberi perhatian bagi memastikan belia muda mendapat pekerjaan yang selayaknya mengikut tahap pendidikan.
“Kalau boleh sediakan banyak lagi peluang pekerjaan sebab macam saya sendiri saya ada pendidikan tapi bekerja berniaga.
“Bukannya kami memilih kerja jadi perbanyakkan lagi peluang itu disini serta rajin berkomunikasi dengan penduduk kampung,” ujarnya.






