
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, dakwaan sedemikian adalah tidak benar kerana tugas pasukan itu adalah melakukan pemantauan menyeluruh terhadap semua aktiviti kempen mengikut peruntukan undang-undang.
“Pasukan penguat kuasa ini tidak memberi tumpuan khusus ataupun menyasarkan mana-mana parti mahupun pihak-pihak tertentu.
“Tuduhan tersebut sebaliknya adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, PPKPR berperanan memastikan calon mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang kempen, termasuk menasihati semua pihak agar mematuhi peraturan sedia ada.
Beliau turut menggesa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai keraguan atau maklumat salah laku supaya mengemukakan aduan rasmi kepada pihak berkuasa.
“SPR sentiasa mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya ini untuk terus mematuhi undang-undang bagi memastikan keamanan dan integriti pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.







