GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Orang Asli di tiga penempatan (pos), terputus hubungan apabila jambatan kayu balak merentasi Sungai Peralong dekat sini, runtuh petang semalam.
Difahamkan, kejadian kira-kira 7 malam itu berpunca fenomena kepala air akibat hujan lebat sejak awal petang.
Seorang penduduk, Dendi Johari, 37, berkata, susulan kejadian itu, penduduk di Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob kini tidak dapat keluar dari penempatan mereka.
“Saya dimaklumkan rakan mengenai kejadian berkenaan kira-kira 7 malam. Jambatan kayu balak kini sudah terputus dan tidak boleh dilalui semua kenderaan.
“Kami harap jambatan ini dapat dibaiki secepat mungkin untuk kegunaan penduduk termasuk guru-guru di pedalaman yang akan keluar pada hari ini kerana cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Sementara itu, ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, dia sudah dimaklumkan kejadian itu oleh penduduk kampung malam tadi.
“Kepada penduduk, saya nasihatkan mereka sentiasa berhati-hati dengan keadaan cuaca di musim tengkujuh ini.
“Sekiranya perlu masuk ke hutan, pastikan secara berkumpulan, dibimbangi akan berlaku tanah runtuh atau kepala air.
“Insya-Allah… tindakan segera akan diambil bagi membaiki jambatan ini kerana ia adalah laluan utama penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan,” katanya.




