Dasar ekonomi dan pengurusan berhemat perkukuh ringgit ke tahap tertinggi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peningkatan nilai ringgit yang kini muncul sebagai antara yang terbaik di Asia didorong oleh gabungan disiplin fiskal, pengurusan ekonomi yang lebih tersusun serta dasar-dasar kerajaan yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Beliau berkata, usaha-usaha tersebut turut meningkatkan keyakinan pelabur, sekali gus membolehkan Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun keluar daripada defisit perkhidmatan.

“Satu angka yang sangat menarik, defisit kita dulu memang jadi masalah… tetapi angka bagi suku ketiga 2025, kita pertama kali mendapat lebihan dan tidak lagi defisit selepas 14 tahun defisit perkhidmatan, dapat dilepaskan dan ada lebihan.

“Untuk perkhidmatan saja, RM0.7 bilion, selepas 14 tahun. Ini kerana perancangan ekonomi kita. Begitu juga baki akaun semasa, yang juga positif iaitu 12.2 peratus dalam suku ketiga,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai punca pengukuhan ringgit, yang kini berada pada paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh hampir empat tahun, serta kesannya terhadap pembangunan ekonomi dan rakyat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 14 November lalu, ringgit meningkat sebanyak 8.21 peratus berbanding dolar AS, selain turut mengukuh berbanding dolar Australia (5.66 peratus), dolar Taiwan (5.26 peratus), Yuan China dan dolar Singapura.

“Kenaikan itu agak tinggi dan sangat meyakinkan, yang turut mempunyai kaitan dengan keyakinan (pelabur),” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar kerajaan termasuk penyasaran subsidi turut menyumbang kepada prestasi lebih baik ringgit dan memberi kesan positif kepada rakyat. Namun, beliau mengakui usaha mengurangkan defisit fiskal sambil memastikan perbelanjaan untuk pembangunan, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur tetap ditingkatkan bukanlah tugas mudah.

“Ada yang tegur, apabila mengira pertimbangan pembangunan, kita masukkan peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini dikatakan seolah-olah tidak wajar.

“Sekarang, apa yang kita lakukan, kita mula masukkan (GLIC) kerana kalau program Khazanah, ia ikut program rancangan kita, termasuk dalam belanja taman warisan (Warisan KL). Korea, negara Eropah, termasuk United Kingdom (UK) ikut sama.

“Ini bermakna, keputusan kita itu wajar, tidak bertentangan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang) mengenai sama ada pengukuhan ringgit bersifat kukuh dari sudut asas ekonomi atau hanya faktor sementara, Anwar menjelaskan bahawa prestasi mata wang negara bergantung kepada dasar kerajaan, kestabilan politik serta suasana keselamatan negara.

“Dasar itu kita akan teruskan, yang akan menambah keyakinan. Selain itu, ada faktor global, seperti Rizab Persekutuan AS, yang mana penetapan kadar itu akan memberi kesan kepada seluruh dunia.

“Disebabkan itu, penampannya adalah kekuatan domestik dan sebab itu saya tegaskan, daya tahan domestik itu penting. Apa-apa pertimbangan di luar, walaupun kita ambil sedikit perkiraan tetapi kita uruskan, negara harus ditadbir dengan bersih, dasar mesti wajar dan hala tuju jelas, pelaksanaan harus efisien, maknanya seluruh kekuatan kerajaan ke arah itu.

“Ada beberapa langkah yang dianggap kurang popular, seperti penyelarasan subsidi, kita harus berani lakukan,” katanya.

Related Posts

‘Pas penipu atau gagal memahami akaun kewangan TH, sila jelaskan’ – Chong Zhemin

AHLI Parlimen Kampar, Chong Zhemin mendesak Pas tampil memberikan penjelasan berhubung kegagalan parti itu mengesan krisis kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2016 serta tindakan keluar daripada sidang khas Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penyatuan Melayu-Islam: Apa makna jika amanah dan tadbir urus dipersoal?

PONTIAN – Naratif penyatuan Melayu-Islam yang sering dibawa oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan slogan politik, sebaliknya melalui sejauh mana amanah, integriti dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

SACC dijenama semula sebagai SITC, pacu Shah Alam jadi hab perdagangan

SACC dijenama semula sebagai SITC, pacu Shah Alam jadi hab perdagangan

Pemegang MyKad berpeluang dapat tiket F1 GP Bahrain serendah RM200

Pemegang MyKad berpeluang dapat tiket F1 GP Bahrain serendah RM200

‘Pas penipu atau gagal memahami akaun kewangan TH, sila jelaskan’ – Chong Zhemin

‘Pas penipu atau gagal memahami akaun kewangan TH, sila jelaskan’ – Chong Zhemin

Penyatuan Melayu-Islam: Apa makna jika amanah dan tadbir urus dipersoal?

Penyatuan Melayu-Islam: Apa makna jika amanah dan tadbir urus dipersoal?

Sarawak perkukuh status hab tenaga hijau dan semikonduktor di Asia Tenggara

Sarawak perkukuh status hab tenaga hijau dan semikonduktor di Asia Tenggara

Kerajaan Pahang sedia RM5.5 juta untuk TVET

Kerajaan Pahang sedia RM5.5 juta untuk TVET