
SEKURANG-kurangnya 288,000 keluarga Palestin kini berdepan ‘tragedi getir’ selepas puluhan ribu khemah penempatan sementara yang menampung penduduk berpindah musnah dan dinaiki air berikutan ribut hujan, menurut pihak berkuasa Gaza.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Media Kerajaan Gaza mendakwa Israel memburukkan lagi krisis kemanusiaan dengan terus menghalang kemasukan bahan perlindungan serta bekalan asas ke wilayah berkenaan.
“Sekurang-kurangnya 288,000 keluarga Palestin sedang melalui tragedi getir dalam keadaan cuaca buruk tanpa keperluan asas untuk meneruskan hidup,” katanya, lapor Anadolu.
Mereka memaklumkan Gaza kini memerlukan 300,000 khemah dan rumah bergerak bagi menampung keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat perang hampir dua tahun.
Hujan lebat dan angin kencang sepanjang tiga hari lalu merosakkan ribuan khemah, sekali gus mengancam keselamatan wanita dan kanak-kanak.



