MADINAH – Seramai 45 jemaah umrah India maut dalam kemalangan jalan raya di Arab Saudi, malam kelmarin, ketika dalam perjalanan menuju ke kota suci Madinah.
Bas membawa mereka dari Makkah berlanggar dengan sebuah lori tangki berhampiran Madinah, mengakibatkan kebakaran besar.
Ramai daripada jemaah terbabit berasal dari negeri Telangana di selatan India, menurut media India hari ini.
Kedutaan India di Riyadh dan konsulat di Jeddah dilapor memberikan sokongan penuh kepada rakyat dan keluarga yang terjejas akibat kemalangan ini, kata Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar dalam hantaran di platform sosial X.
Sumber rasmi berkata, terdapat 46 penumpang dalam bas itu dengan hanya seorang penumpang terselamat dan sedang menerima rawatan, lapor agensi berita India, The Hindu.
Difahamkan, kira-kira 20 wanita dan 11 kanak-kanak antara penumpang menaiki bas berkenaan.
Ketua Menteri Telangana, Revanth Reddy yang terkejut sebaik dimaklumkan mengenai insiden itu berkata, kerajaan sedang berhubung dengan Kedutaan India di Riyadh.
Katanya, langkah itu diambil selepas media tempatan melaporkan jemaah umrah dari India terbunuh dalam kemalangan berkenaan.









