
SANDAKAN – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin yakin rakyat bijak menilai usaha pembangunan yang dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbirannya di kawasan itu.
George, yang diumumkan sebagai calon nombor dua dalam pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah berkata, beliau telah bertungkus-lumus bekerja demi kepentingan penduduk dan percaya usaha itu masih diingati serta dihargai masyarakat setempat.
“Sebagai calon PH bagi kerusi Karamunting, saya berharap akan diberikan peluang untuk meneruskan semua perancangan dan kerja-kerja pembangunan yang telah kita mulakan bersama,” katanya ketika ditemui media selepas poses Penamaan Calon PRN17 Sabah Sekong dan Karamunting di Auditorium, Jabatan Perhutanan Sabah Sandakan, di sini pada Sabtu.
Beliau menjelaskan projek-projek yang digerakkan termasuk penambahbaikan infrastruktur, penyelesaian isu perparitan, peningkatan kebersihan bandar, aspek keselamatan komuniti serta program pembangunan sosial yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.
“Kita sudah mulakan banyak perkara dan saya tidak mahu ia terhenti separuh jalan.
“Banyak projek masih berjalan dan saya mahu memastikan semuanya disempurnakan demi rakyat Karamunting,” tambah George.

Calon PH itu turut menekankan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa ada golongan yang tercicir daripada arus kemajuan.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir memberi semangat semasa proses penamaan calon, menyifatkan sokongan itu sebagai pendorong untuk beliau bekerja lebih kuat sepanjang tempoh kempen.
Dalam PRN17 Sabah kali ini, George akan berdepan dengan calon lain iaitu Alex TK Wong (Warisan), Datuk Chin Kim Hiung Barisan Nasional (BN), Datuk Chew Kok Woh, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Soo Ming Soon Parti Impian Sabah (PIS).





