
LAHAD DATU – Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah bagi Dewan Undangan (DUN) Segama menyaksikan Ketua Cabang PKR Lahad Datu mewakili Pakatan Harapan (PH), Romansa Lamin berdepan saingan tujuh penjuru.
Romansa mencabar bekas penyandang, Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas-Pen), Muhammad Abdul Karim (Warisan), Alif Afiandy Ali (Bebas-kunci), Ehtisham Ur Rahman Mhaulana (Parti Impian Sabah), Norman Kasimin (Bebas-Gajah) dan Yvonne Yong Yit Phung (SAPP).
Senarai calon bertanding itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Perdana ditutup pukul 10 pagi.
Pada PRN ke-16 lalu, kerusi Segama dimenangi Mohamaddin yang ketika itu bertanding tiket Warisan dengan 4,864 undi mengalahkan pencabar Perikatan Nasional, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demokratik, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan seorang calon bebas.
Kali ini, di DUN Segama, seramai 29,840 orang layak mengundi dengan 29,189 pengundi biasa, 111 pengundi tentera dan pasangan serta 540 polis dan pasangan polis PGA.





