
TAWAU – Komitmen memajukan Sabah melalui agenda Malaysia MADANI bukan sekadar membasmi kemiskinan sebaliknya menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat Sabah ditunaikan termasuk penyelesaian perkara penting dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pendekatan kerajaan kini bukan datang menabur janji, tetapi hadir untuk menyelesaikan perkara tertunggak yang sekian lama menjadi harapan rakyat negeri ini.
“Kerajaan berkomitmen menyelesaikan peringkat pertama MA63 dan akan selesaikan lagi janji fasa seterusnya.
“Ayah saya selalu ajar, jadilah orang yang baik, tabah menghadapi dugaan dan tunaikan janji.
“Jika diberi peluang, saya yakin Sabah mampu melangkah lima hingga 15 tahun ke hadapan menjadi negeri yang lebih berjaya,” katanya berucap ringkas pada pelancaran Bilik Operasi DU Sri Tanjong di Jalan Kubota, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyeru warga DU Sri Tanjong menilai berdasarkan rekod dan bukannya emosi.
“Lihat prestasi dan apa yang telah kami lakukan. Tidak perlu jeritan, kemarahan atau baling bom.
“Contohnya, projek Pan Borneo dan isu elektrik, bukan kami yang menghentikannya, tetapi kami yang berusaha menyelesaikannya,” katanya.





