MINDA TOK ABAH: Komunikasi bukan lagi monolog, tetapi dialog

DALAM dunia komunikasi yang serba terbuka hari ini, persepsi sering kali berlari lebih laju daripada fakta. Maka, tidak hairan apabila jentera atau agensi komunikasi kerajaan menjadi sasaran mudah, kononnya gagal menyampaikan dasar dan mesej kepada rakyat. Namun persoalan sebenar bukanlah siapa paling lantang bersuara, tetapi sejauh mana suara itu benar-benar didengar dan difahami.

Yang retak sebenarnya bukan bingkai, tetapi cermin yang digunakan oleh sesetengah pihak untuk melihat realiti komunikasi kerajaan. Mereka melihat imej kabur, lalu menyangka cerminnya rosak. Padahal, pantulan itu datang daripada wajah mereka sendiri yang tidak memahami seni mendengar dan makna komunikasi dua hala.

Komunikasi bukan semata-mata tentang siapa paling lantang bercakap atau siapa paling kerap muncul di media. Ia tentang bagaimana mesej diterima, ditafsir, dan dirasai oleh rakyat. Ia bukan monolog dari podium, tetapi dialog yang menuntut telinga terbuka dan hati yang mahu memahami.

Antara ‘discommunication’ dan ‘distraction

Kita sering menyebut tentang ‘miscommunication’ – salah faham akibat mesej yang tidak jelas. Tetapi dalam era digital, masalahnya jauh lebih kompleks. Kini kita berdepan dengan dua cabaran baharu: ‘discommunication’ dan ‘distraction’.

‘Discommunication’ berlaku apabila komunikasi terbuka menghasilkan terlalu banyak suara hingga makna asal tenggelam. Sementara ‘distraction’ pula muncul apabila perhatian rakyat teralih kepada hal-hal remeh, sehingga mesej dasar yang penting tidak sempat dihadam. Dalam dunia komunikasi moden, ancaman bukan lagi maklumat yang tidak sampai, tetapi maklumat yang terlalu banyak hingga yang benar tidak lagi didengar.

Kerana itu, isu sebenar bukanlah kegagalan menghantar maklumat, tetapi bagaimana maklumat itu ditafsir. Masalah komunikasi hari ini bukan masalah satu pihak sebaliknya ia masalah bersama. Soalnya, sejauh mana kita semua, sebagai rakyat dan sebagai penyampai maklumat, bersedia mengambil tanggungjawab untuk mendengar dan memahami sebelum menghakimi.

Komunikasi perlukan kefahaman dan empati

Kelemahan sebenar bukan pada mekanisme komunikasi kerajaan, tetapi pada mereka yang bercakap tanpa data, tanpa sensitiviti, dan lebih gemar retorik yang mudah tular. Dalam dunia yang sarat dengan disinformasi, komunikasi memerlukan ketepatan, kefahaman konteks, dan empati – bukan sekadar suara lantang di podium atau video 30 saat di media sosial.

Jentera komunikasi bekerja di lapangan: mendengar suara rakyat, membaca pola sentimen, dan menilai naratif yang muncul di bawah. Ia bukan sekadar menulis siaran media, tetapi memastikan mesej kerajaan dijelaskan dengan tepat, sesuai konteks, dan difahami. Menyalahkan jentera komunikasi kerajaan kerana rakyat keliru ibarat menyalahkan posmen apabila surat cinta tidak berbalas.

Bahaya disinformasi kepada masyarakat

Apabila empati hilang, ruang komunikasi mula diisi dengan syak wasangka dan di sinilah disinformasi berakar. Dalam landskap digital yang terbuka tanpa sempadan, kebenaran tidak lagi dinilai melalui fakta, tetapi melalui siapa yang paling cepat menyiarkannya.

Bagi rakyat biasa, ancaman disinformasi hadir dalam pelbagai bentuk. Pertama, ia mengikis kepercayaan awam. Apabila rakyat percaya semua berita adalah palsu, akhirnya kebenaran pun diragui. Inilah yang disebut oleh pakar komunikasi Cass Sunstein sebagai “spiral of silence” – apabila keraguan kolektif menelan kebenaran itu sendiri.

Kedua, ia melemahkan media arus perdana. Media sosial mengambil alih peranan kewartawanan profesional, lalu suara media yang berintegriti semakin tenggelam. Ketiga, ia mencetuskan polarisasi sosial. Isu kaum dan agama diperguna untuk mengapi-apikan sentimen, sehingga mengancam keselamatan negara.

Di sinilah fungsi komunikasi kerajaan perlu difahami semula, bukan untuk menenggelamkan suara rakyat, tetapi untuk menapis kebisingan agar kebenaran tidak hilang arah.

Kerajaan MADANI dan nilai mendengar

Kerajaan MADANI membina komunikasi atas prinsip nilai; keterbukaan, mendengar, dan memahami. Dalam era di mana video pendek dan potongan kenyataan separuh benar mudah tersebar, jentera atau agensi komunikasi kerajaan seperti JKOM bertindak menyeimbangkan persepsi, bukan mengawal naratif. Ia bukan propaganda; ia adalah penjernihan makna. Peranan ini tidak glamor, tidak sensasi, tetapi penting kerana ia memastikan rakyat memahami dasar dan niat kerajaan secara jernih dan berfakta.

Dalam konteks ini, JKOM sebagai penghubung strategik antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan mesej dasar difahami secara konsisten. Keberkesanan dasar tidak boleh diukur hanya melalui bilangan kenyataan media atau paparan visual di media sosial, tetapi melalui sejauh mana rakyat benar-benar memahami dan merasai manfaatnya.

Akhirnya, komunikasi bukan tentang apa yang kita cakap, tetapi tentang apa yang didengari. Mendengar (hearing) dan mendengar dengan teliti (listening) adalah dua perkara yang berbeza. Kerana hanya dengan mendengar dengan teliti, kita mampu memahami; dan hanya dengan memahami, kita mampu membina kepercayaan.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Tindakan isytihar turunkan Tuanku Muhriz tidak sah, tidak diiktiraf

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong, semalam, adalah tidak sah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kurangkan beban pengamal media, sidang media mingguan dilaksana hibrid – Fahmi

GOMBAK – Sidang media mingguan Jurucakap Kerajaan Perpaduan akan dilaksanakan secara hibrid demi mengurangkan bebanan kepada pengamal media susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global kini. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Iran beri amaran Selat Hormuz tidak selamat jika eksport disekat

  • By Siti
  • April 20, 2026
Iran beri amaran Selat Hormuz tidak selamat jika eksport disekat

Tindakan isytihar turunkan Tuanku Muhriz tidak sah, tidak diiktiraf

Tindakan isytihar turunkan Tuanku Muhriz tidak sah, tidak diiktiraf

Langkah strategik kerajaan Pahang bantu usahawan

Langkah strategik kerajaan Pahang bantu usahawan

Program JHEKS rapatkan masyarakat, agensi kerajaan

Program JHEKS rapatkan masyarakat, agensi kerajaan

Bayern juara Bundesliga, kini sasar Liga Juara-Juara UEFA

Bayern juara Bundesliga, kini sasar Liga Juara-Juara UEFA

Kerajaan Persekutuan, Sabah komited bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia

Kerajaan Persekutuan, Sabah komited bantu mangsa kebakaran Kg Bahagia