
SEMUA agensi kerajaan telah digerakkan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dengan langkah kesiapsiagaan merangkumi pengawasan banjir, empangan dan penambahbaikan menara telekomunikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, telah diberi taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai kesiapsiagaan menghadapi MTL.
Beliau berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti sebanyak 3,682 ‘hotspot’ banjir di seluruh negara.
Jabatan Mineral dan Geosains pula mengenal pasti 254 cerun kritikal, manakala 1,768 stesen hidrologi, 614 unit siren amaran banjir dan 285 rumah pam telah disiapkan bagi menghadapi MTL.
“Pam bergerak juga sudah ditambah untuk persiapan menghadapi banjir. Sejumlah empangan sudah dikenal pasti sekiranya berlaku limpahan air ataupun air melebihi tahap kritikal.
“Maka, tindakan intervensi akan diambil untuk menjamin keselamatan, terutama penduduk yang tinggal tidak jauh dari lokasi empangan,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, penambahbaikan sejumlah menara telekomunikasi turut dilaksana bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik sekiranya banjir berlaku.
Beliau berkata, penambahbaikan itu membabitkan beberapa peralatan yang mungkin berada di aras tanah supaya tidak tenggelam sekiranya kawasan berkenaan dilanda banjir.
“Saya melihat sendiri kerja-kerja yang siap untuk kawasan tertentu seperti di Sabah yang berkemungkinan dinaiki air, dan persiapan ini nampaknya berjalan dengan baik,” katanya.
MTL bermula semalam dan diramal berterusan hingga Mac tahun depan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan bahawa sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara sepanjang tempoh MTL.


