
KABONG – Penghayatan dan pengamalan ajaran al-Quran perlu terus diperkukuh dalam kalangan generasi muda bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak serta mampu bersaing dalam era moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, menegaskan bahawa peranan guru agama dan ibu bapa amat penting dalam memupuk kecintaan terhadap al-Quran sejak usia kecil.
“Ilmu al-Quran bukan sekadar dibaca. Ia perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Rumah harus menjadi madrasah pertama dalam membentuk akhlak dan nilai Islam anak-anak,” katanya ketika merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Sesi 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat pada Ahad.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak sekolah atas penganjuran program berkenaan yang disifatkannya sebagai bukti komitmen dalam memperkukuh pendidikan Islam serta menyemai kecintaan terhadap kalamullah dalam kalangan pelajar.
Seramai 34 pelajar diraikan pada majlis tersebut selepas berjaya menamatkan bacaan al-Quran bagi tahun 2025. Mohd Chee memuji disiplin, semangat dan kesungguhan mereka yang dianggap wajar dijadikan teladan oleh rakan sebaya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan beberapa inisiatif baharu untuk meningkatkan kemudahan di sekolah, termasuk kerja memperbesarkan dewan terbuka (awning), pemasangan kipas tambahan, pembinaan pagar di tepi padang sekolah serta peruntukan RM5,000 bagi pengelolaan Majlis Khatam Al-Quran tahun ini.
Beliau turut menzahirkan harapan agar para pelajar terus istiqamah mendalami dan menghayati ajaran Al-Quran, sekali gus menjadi generasi seimbang dari segi rohani dan ilmu.
Foto: Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong



