MINDA TOK ABAH: Rasional dalam dunia yang membenci akal

DI zaman pascanormal ini, ketika dunia bergerak dalam kekacauan yang semakin sukar dibaca, kata-kata ‘lebih mudah menjual kebencian daripada menjelaskan kebenaran’ terasa seperti cermin yang memantulkan wajah kita sendiri.

Dalam masyarakat yang ditelan oleh emosi, rasional sering dianggap dosa; dan sesiapa yang berfikir dengan tenang akan segera dituduh sebagai pengkhianat.

Begitulah nasib setiap keputusan strategik yang cuba dibuat dengan kepala dingin, pasti akan disalah tafsir oleh mereka yang gemar menilai dari sudut emosi, bukan rasional.

Termasuklah keputusan Malaysia menandatangani Agreement on Reciprocal Trade (ART) bersama Amerika Syarikat. Sebaik saja perkataan ‘perjanjian’ disebut, ramai terus melatah, kononnya Malaysia sudah tunduk, sudah dijerat, sudah ‘jual negara’.

Padahal, kalau benar mereka faham, perkataan ‘reciprocal’ itu sendiri bermaksud timbal balik, bukan perhambaan. Ia bukan perjanjian mutlak yang memaksa kita mengikat tangan sendiri, sebaliknya kerangka longgar yang memberi ruang rundingan, keluar bila perlu, dan bertindak bila untung.

Sebaik sahaja dakwat perjanjian itu kering, muncul suara-suara yang menuduh Perdana Menteri ‘menjual negara’. Ironinya, yang paling lantang menjerit tentang kedaulatan inilah selalunya yang membaca tajuk, bukan kandungan; menafsir bunyi, bukan makna.

Mereka tidak memahami, jauh sekali menghayati maksud sebenar di sebalik setiap klausa yang termeterai.

Berdasarkan penjelasan rasmi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tidak ada satu pun artikel dalam ART yang memaksa Malaysia tunduk kepada sekatan Amerika Syarikat atau mengubah undang-undang domestik.

Malah, setiap tindakan yang berkaitan dengan keselamatan atau ekonomi mesti melalui proses perundingan bersama terlebih dahulu.

Dengan ART, Malaysia sebenarnya memeterai kerjasama yang menjamin kestabilan akses pasaran ke Amerika Syarikat – pasaran eksport terbesar negara bernilai RM198 bilion pada tahun lalu.

Pengecualian tarif bagi 1,711 barisan eksport utama termasuk minyak sawit, getah, komponen penerbangan dan farmaseutikal, adalah hasil diplomasi berprinsip – bukan tanda tunduk, tetapi tanda Malaysia tahu menilai kepentingannya sendiri.

Menolak rundingan atas nama ‘maruah’ bukanlah keberanian, tetapi kebodohan yang dibungkus dengan ego.

Kepimpinan Malaysia dalam dunia pascanormal

Malaysia yang baru sahaja mengakhiri tugas sebagai Pengerusi ASEAN telah melaksanakan satu tanggungjawab besar dalam dunia yang berhadapan dengan realiti baharu.

Dalam keadaan perang kuasa besar, perebutan teknologi, dan ketidaktentuan geopolitik, Malaysia memilih jalan diplomasi matang: tidak memihak, tetapi tidak membisu; tidak tunduk, tetapi tidak angkuh.

Inilah yang disebut sebagai diplomasi berprinsip. Malaysia berpegang pada gagasan bahawa ASEAN mesti kekal sebagai ‘centrality of unity’ – pusat kestabilan dan kebijaksanaan yang tidak menjadi boneka kepada kuasa luar.

Perjanjian ART, dalam konteks ini, adalah lanjutan kepada dasar luar yang matang: Malaysia memperkukuh daya tahan ekonomi di samping menegakkan kedaulatan melalui rundingan, bukan melalui jerit slogan di podium politik.

Malangnya, dunia hari ini semakin bising dengan politik yang kehilangan akal dan bebal. Dalam ekosistem media sosial yang membiak kebencian, ramai yang lebih cepat percaya pada teori konspirasi daripada fakta dasar.

Mereka yang menyerang ART sebenarnya tidak menyerang dasar, tetapi menyerang institusi Perdana Menteri. Tujuannya mudah, menggugat keyakinan rakyat, melemahkan kepercayaan, dan memanipulasi persepsi demi kepentingan politik sempit.

Dalam keghairahan menimbulkan keraguan dan membakar sentimen, mereka mungkin tidak sedar bahawa tindakan itu sebenarnya membuka ruang kepada agenda yang lebih berbahaya; agenda yang melemahkan keutuhan kepimpinan negara dan menggugat kestabilan yang sedang dibina.

Hakikatnya, ancaman terhadap kedaulatan negara tidak semestinya datang dari luar; kadangkala ia lahir daripada tangan sendiri, apabila sesuatu ditolak tanpa difahami sepenuhnya.

Sementara yang menuduh ‘jual negara’ tanpa memahami struktur tarif, rantaian bekalan, dan keperluan geopolitik, hakikatnya sedang menjual intelektualiti bangsa sendiri.

Malaysia dan diplomasi rasional

Perjanjian ART memperlihatkan bagaimana Malaysia menyesuaikan diplomasi ekonomi dengan kehendak zaman baharu, di mana kekuatan bukan lagi pada saiz tentera, tetapi pada kebijaksanaan strategi.

Dalam sektor kritikal seperti mineral nadir bumi (REE), Malaysia kekal melarang eksport bahan mentah, sebaliknya membuka ruang kepada pelaburan berteknologi tinggi untuk memproses dan menambah nilai dalam negara.

Kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat bukan bermaksud tunduk, tetapi mempercepat pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan tempatan – satu bentuk kedaulatan ekonomi yang bijaksana.

Begitu juga dalam hal halal, data digital, dan GLC, setiap keputusan masih berpaksikan undang-undang Malaysia. Tiada kuasa luar yang boleh mencampuri dasar halal JAKIM, undang-undang Personal Data Protection 2010, atau peranan strategik syarikat berkaitan kerajaan.

Menjaga kedaulatan dengan akal, bukan amarah

Dalam dunia pascanormal, kedaulatan tidak lagi diukur pada siapa yang paling lantang menjerit ‘jangan tunduk’, tetapi siapa yang paling tenang mengawal arah angin.

Malaysia memilih rasional kerana tahu bahawa emosi tidak memberi makan kepada rakyat. Diplomasi bukan pengkhianatan; ia adalah seni mempertahankan kepentingan dalam dunia yang saling bergantung.

ART bukan simbol tunduk, tetapi tanda bahawa Malaysia berani berunding dengan kepala tegak. Ia memperlihatkan bahawa negara ini tidak takut untuk duduk di meja kuasa besar, kerana kita tahu siapa diri kita dan apa yang kita pertahankan.

Kita hidup dalam dunia yang membenci akal, tetapi Malaysia masih memilih untuk berfikir. Dalam gelombang populisme yang menenggelamkan fakta, kita masih percaya bahawa kebenaran tidak boleh digantikan oleh jerit kemarahan.

Kedaulatan bukanlah menolak dunia, tetapi menjaga diri dalam dunia yang tidak pernah berhenti berubah. Dan dalam perjalanan itu — akal yang waras adalah pertahanan terakhir sebuah bangsa yang masih mahu berdiri dengan maruah.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Program MADANI KITA sedia pelbagai aktiviti

PORT DICKSON – Karnival kerjaya, program pertukaran topi kaledar, kaunter pengurangan saman, jualan MADANI dan pemeriksaan kesihatan antara pengisian pada Program MADANI KITA (PMK) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Institusi diraja wajar dijauhkan daripada polemik politik PRN Johor, Negeri Sembilan – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Ahli politik diingatkan supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan kempen atau alat untuk mengabsahkan keputusan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM),…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tabung Matadeng realisasi impian anak pedalaman Mukah ke IPT

Tabung Matadeng realisasi impian anak pedalaman Mukah ke IPT

Sokongan luar biasa akar umbi saksi kesediaan PH tawan DUN Sungai Balang

Sokongan luar biasa akar umbi saksi kesediaan PH tawan DUN Sungai Balang

Sepanyol lepas ke pusingan kalah mati, Uruguay tersingkir

Sepanyol lepas ke pusingan kalah mati, Uruguay tersingkir

Program MADANI KITA sedia pelbagai aktiviti

Program MADANI KITA sedia pelbagai aktiviti

Isu Pelabuhan Bintulu: Pemuda PBB bidas DAPSY angkuh, putar belit fakta

Isu Pelabuhan Bintulu: Pemuda PBB bidas DAPSY angkuh, putar belit fakta

Institusi diraja wajar dijauhkan daripada polemik politik PRN Johor, Negeri Sembilan – Penganalisis

Institusi diraja wajar dijauhkan daripada polemik politik PRN Johor, Negeri Sembilan – Penganalisis