KUANTAN – Kerajaan Pahang mengagihkan insentif khas kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan kejayaan mencatatkan peratus indeks kebahagiaan tertinggi tahun ini.
PBT itu adalah Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Cameron Highlands, Majlis Daerah Jerantut dan Majlis Daerah Lipis.
Mereka masing-masing menerima RM10,000.
Penyerahan insentif itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Pahang 2025 di sini, hari ini.
Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, pemberian insentif itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan usaha gigih PBT dalam memastikan kualiti hidup rakyat ditingkatkan.
“Dan kita harus ingat, daripada 153 PBT, kita dapat empat (tersenarai). Itulah sebabnya kita menghargai. Macam mana hari ini kita bagi RM10,000 kepada mereka sebagai tanda kita menghargai.
“Kerana untuk mencapai kejayaan ini bukan mudah. Kena ada usaha yang sungguh-sungguh, komitmen, disiplin, fokus,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perancangan Bandar dan Desa PLANMalaysia, Saidin Lateh dan Pengarah PLANMalaysia Pahang, Datuk Nik Noraisu Nik Ibrahim.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kejayaan dicapai PBT berkenaan turut menyumbang kepada pencapaian Pahang sebagai negeri kedua paling bahagia negara bagi tahun ini.
“Kita bersyukur kerana Pahang menduduki tempat kedua sebagai negeri paling bahagia di Malaysia, harapan saya agar kedudukan ini dapat dikekalkan, malah kalau boleh kita naik ke tempat pertama tahun hadapan,” ujarnya.







