
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyatakan sokongan terhadap tindakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, yang menegur keras sikap pembangkang di Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan 2026.
Mohd Puad berkata, tindakan Ahmad Maslan adalah tepat apabila mempersoalkan kewajaran pembangkang yang menolak belanjawan secara keseluruhan, namun dalam masa sama mengemukakan pelbagai permintaan projek dan peruntukan untuk kawasan masing-masing.
“Saya setuju dengan jawapan dan tindakan Ahmad Maslan di Parlimen. Buat apa jawab, mereka minta berjela-jela tetapi Belanjawan 2026 mereka tolak,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut mengulas insiden apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, meninggikan suara terhadap Ahmad Maslan di Dewan Rakyat dengan berkata, “Otak kamu, Timbalan Menteri. Kamu Timbalan Menteri rakyat Malaysia, bukan Timbalan Menteri parti kamu.”
Mengulas perkara itu, Mohd Puad menegaskan bahawa sama seperti Ahmad Maslan, Shahidan juga merupakan wakil rakyat kepada rakyat di kawasannya, bukan semata-mata kepada parti.
“Tidak wajar tolak bajet ‘in blanket’. Pembangkang hanya sokong bajet kalau elaun mereka dinaikkan,” katanya sinis.
Beliau turut menyeru agar wakil rakyat pembangkang di Parlimen mencontohi peranan blok pengimbang di Dewan Negeri Johor yang menurutnya lebih rasional, matang dan tidak menggunakan bahasa kesat dalam berhujah.
“Pembangkang di Johor berperanan dengan baik. Mereka menjadi pengimbang yang rasional dan berhemah. Parlimen juga wajar mencontohi perkara ini,” tambahnya.
Terdahulu, pada Rabu, Ahmad Maslan menyindir sikap segelintir ahli Parlimen pembangkang yang mengemukakan pelbagai permintaan peruntukan pembangunan di kawasan masing-masing, namun tidak menyokong Belanjawan 2026 semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat.


