
DAKWAAN bahawa Pantai Timur masih terpinggir daripada arus pembangunan negara ternyata tidak berasaskan fakta, sebaliknya hanya mainan sentimen politik untuk menanam persepsi kononnya Kerajaan Persekutuan tidak adil dalam mengagihkan kemajuan antara wilayah.
Realitinya, dalam lima tahun kebelakangan ini, kerajaan pusat telah menumpukan pelaburan strategik terbesar dalam sejarah Pantai Timur melibatkan projek mega seperti ECRL bernilai RM74 bilion,serta pembangunan Hab Tenaga Nasional (TNB dan Petronas) di Paka, Kerteh dan Kemaman yang membuka ribuan peluang kerja baharu.
Pembangunan berskala nasional, pulangan untuk Pantai Timur
Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sekadar menyalurkan dana, tetapi menstruktur semula pembangunan melalui pendekatan ‘infrastruktur untuk inklusif’.
Melalui Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), lebih RM30 bilion pelaburan domestik dan asing telah direkodkan membabitkan sektor tenaga,petrokimia, pelancongan dan agroindustri.
Pulau Pinang bukan saingan, tapi rakan ekonomi
Dakwaan kononnya Pulau Pinang menjadi simbol kelebihan pembangunan berbanding Pantai Timur adalah naratif sempit yang ketinggalan.
Ekonomi negara dibina atas rangkaian saling melengkapi, bukan persaingan antara wilayah.
Pulau Pinang memainkan peranan sebagai hab teknologi dan semikonduktor, manakala Pantai Timur berfungsi sebagai hab tenaga, pelabuhan industri dan sumber eksport negara.
Kedua-duanya menyumbang kepada keseimbangan ekonomi nasional bukan bukti ketidakseimbangan.
Naratif lama Pas perlu dihentikan
Ironinya, parti-parti pembangkang yang memerintah negeri Pantai Timur sering menuduh pusat mengabaikan pembangunan tetapi dalam masa yang sama, gagal mengurus kecekapan pelaksanaan projek dan menarik pelabur.
Projek pelabuhan, taman industri, malah bandar baharu banyak tertangguh bukan kerana kekurangan dana, tetapi kelemahan pentadbiran negeri sendiri.
Dakwaan ‘tidak seimbang’ hanyalah alasan untuk menutup kelemahan urus tadbir negeri yang gagal menyediakan prasarana, tapak industri dan tenaga kerja mahir mencukupi.
Kerajaan MADANI: Bukti keadilan wilayah
Di bawah Kerajaan Perpaduan, prinsip keadilan pembangunan bukan sekadar slogan.
Peruntukan untuk projek air luar bandar, sekolah baharu, kemudahan kesihatan, dan jalan penghubung di Terengganu, Kelantan dan Pahang meningkat ketara dalam Belanjawan 2025.
Fokus pembangunan kini bersifat menyeluruh dari Kerteh Tok Bali, bukan sekadar tumpuan di Lembah Klang.
Pantai Timur tidak terpinggir hanya mereka yang mahu menutup mata terhadap fakta akan terus mengulang dakwaan basi.
Yang benar, Kerajaan MADANI sedang membina Pantai Timur sebagai tunjang baharu ekonomi negara, agar setiap rakyat dari Kemaman hingga Tumpat menikmati kemakmuran yang adil dan seimbang.







