PENTADBIRAN kerajaan Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini berdepan gelombang kemarahan rakyat apabila pelbagai cukai dan kadar bayaran dinaikkan secara mendadak, termasuk di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan beberapa pihak berkuasa tempatan lain di seluruh negeri.
Kenaikan itu melibatkan cukai pintu yang tinggi, selain cukai tanah, bil air, premium tanah, sewa premis perniagaan milik PBT, lesen perniagaan, serta kadar caj parkir baharu di beberapa kawasan pusat bandar.
Penduduk dan peniaga kecil antara yang paling terkesan dengan dasar ‘penyelarasan kadar baharu’ itu.
Ramai menyifatkan keputusan kerajaan negeri sebagai tidak berperikemanusiaan ketika rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
“Dulu kami boleh tampung, tapi sekarang semua naik serentak iaitu cukai, lesen, bil air, sewa kedai.
“Kalau macam ni lama-lama kami peniaga pasti akan gulung tikar.
“Malah hari ini bandaraya kian sunyi kerana banyak kedai-kedai ditutup dek kerana lemahnya ekonomi di negeri ini,” kata seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan.
Tinjauan di beberapa kawasan mendapati rungutan serupa kedengaran di seluruh daerah, bukan hanya di Alor Setar.
Rakyat bukan menolak tanggungjawab membayar cukai, tetapi berharap kadar yang dikenakan berpada dan tidak membebankan golongan bawahan.
Kerajaan negeri sebelum ini mempertahankan kenaikan tersebut dengan alasan kadar cukai tidak pernah disemak selama 30 tahun.
Namun bagi rakyat, alasan itu tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menaikkan kadar secara mendadak hingga menjerat kehidupan mereka.
Pemerhati politik negeri turut menegaskan bahawa sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat seharusnya mencari keseimbangan antara keperluan hasil negeri dan kemampuan rakyat membayar, bukannya memindahkan beban kewangan kepada rakyat marhaen.
Ironinya, slogan ‘Kedah Sejahtera’ yang sering diulang oleh kepimpinan Pas negeri kini dilihat semakin jauh daripada realiti.
Hakikatnya, ramai rakyat Kedah semakin terhimpit, bukan sejahtera seperti yang diuar-uarkan.
Jika dahulu rakyat Kedah berbangga dengan Datuk Wan Mohammad Saman yang digelar Bapa Pembangunan Kedah, kini muncul gelaran baharu yang semakin meniti di bibir rakyat ‘Sanusi, Bapa Segala Cukai’.
Penulis ingin menasihatkan Sanusi rakyat bukanlah mesin wang yang mudah ditekan untuk mendapat duit untuk tampung kelemahan pengurusan kerajaan negeri.
Rakyat Kedah menyokong pembangunan tetapi janganlah menindas rakyat untuk melonjakkan nama kerajaan hari ini.
Akhirnya, suara rakyat tetap menjadi suara keramat. Jika pentadbiran negeri terus memandang ringan keresahan ini, tidak mustahil gelombang kemarahan tersebut akan diterjemahkan di peti undi pada pilihan raya akan datang.







