
KINABATANGAN – Seramai 76,694 peserta FELCRA di seluruh negara bakal menerima manfaat daripada bayaran Keuntungan Boleh Agih (KBA) Interim 2 Tahun 2025 hasil kejayaan projek-projek penyatuan dan pemulihan (P&P) yang mencatatkan prestasi memberangsangkan tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah keseluruhan prestasi projek FELCRA Berhad sehingga Ogos 2025 adalah sebanyak RM297 juta, meningkat hampir RM78 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, saya dengan ini mengumumkan bayaran KBA Interim 2 Tahun 2025 kepada 76,694 peserta di seluruh Malaysia yang melibatkan 775 projek yang mencatat keuntungan.
“Bayaran ini akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 November 2025,” katanya semasa Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2025 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di Dataran Kinabatangan, di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Zahid turut menzahirkan tahniah kepada FELCRA Berhad atas usaha mengekalkan prestasi cemerlang dalam meningkatkan pendapatan peserta luar bandar.
Beliau berharap agihan keuntungan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peserta FELCRA untuk mempertingkatkan produktiviti dan menerapkan penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian.
“Jadikan keuntungan ini sebagai modal untuk memperkukuh daya saing agar FELCRA terus menjadi tonggak pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan bahawa komitmen kerajaan terhadap pembangunan di Sabah bukan sekadar retorik politik, sebaliknya dibuktikan melalui peruntukan besar di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
Menurut beliau, kerajaan telah menyalurkan RM24.16 bilion kepada KKDW bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Sabah menerusi agensi persekutuan dan negeri, termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Saya percaya dengan kesinambungan projek yang akan diteruskan pada tahun 2026 serta sokongan berterusan kerajaan melalui FELCRA, rakyat Sabah akan terus menikmati pembangunan yang mampan.
“Ini sejajar dengan komitmen kerajaan bahawa tiada wilayah terpinggir, tiada rakyat tersisih dan Sabah tetap di hati pembangunan negara,” katanya.



