
TAWAU – Sebanyak 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dimohon oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan untuk dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas demi kesejahteraan dan keselesaan masyarakat.
Beliau berkata, permohonan perumahan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Permohonan ini juga akan dimajukan kepada pihak berkaitan untuk kelulusan, jika tidak dapat dilaksana pada Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMKe-12) ini, kita berharap ia akan dimasukkan dalam RMKe-13.
“Saya percaya sekiranya hasrat saya ini direalisasikan kerajaan, sudah tentu dapat menyelesaikan isu setinggan di DUN Apas,” katanya kepada media pada Karnival Sukan Komuniti ‘Sihat dan Cergas’ di PPR Sri Apas Tawau, pada Ahad.
Nizam yang juga Ketua Penerangan PGRS Pusat menjelaskan, keperluan PPR itu amat penting di DUN Apas bagi menjamin penempatan rakyat yang lebih selesa dan teratur selain inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pada tahun 2022.
Sementara itu, Nizam juga berharap agar pergerakan sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Beliawanis PGRS terus menjalin hubungan baik kepada akar umbi khususnya pengundi muda.
“Pastikan orang muda diketengahkan atau didekati agar mereka tidak terpesong dengan pihak tidak bertanggungjawab kerana dibawah pimpinan Kerajaan Perpaduan dan GRS sabah, ia telah meletakkan ekonomi negara serta negeri kita lebih stabil dan meningkat,” katanya.







