
KINABATANGAN – Exco Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Lamag, Johainizamshah Johari, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau menjadi punca Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tidak merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah yang diadakan pada Khamis.
Johainizamshah berkata, tuduhan yang tular di media sosial dan mesej peribadi itu tidak berasas serta menjejaskan nama baik dan reputasinya.
“Pada awalnya, saya tidak berhasrat mengulas perkara ini kerana ingin menumpukan perhatian kepada keadaan kesihatan ibu saya yang masih menerima rawatan di Hospital Duchess Of Sandakan (HDOK).
“Namun, setelah melihat tuduhan ini semakin menjejaskan nama baik saya, saya terpanggil untuk menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyaatan pada Khamis.
Beliau menjelaskan bahawa beliau bukan lagi anggota kerajaan sejak pembubaran kerajaan negeri yang lalu dan sebarang keputusan berkaitan penganjuran atau perubahan majlis rasmi seumpamanya adalah di bawah tanggungjawab pihak penganjur atau pengerusi jawatankuasa, bukannya dirinya.
“Saya juga tidak mempunyai sebarang kuasa, apatah lagi untuk mengugut mana-mana imam atau individu daripada hadir ke program tersebut,” ujarnya.
Johainizamshah menambah, sebagai seorang Muslim, beliau sentiasa menyambut baik setiap usaha memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan tidak pernah terlepas menghadiri majlis seumpama itu setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pihak tertentu supaya berhenti menabur fitnah dan tidak memecah-belahkan masyarakat dengan tuduhan tidak berasas.







