
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tersenarai antara 27 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara yang menerima pengiktirafan Smart City Early Adopter 2025 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo 2025 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, pada Selasa.
Menurut kenyataan DBKK, pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan komitmen dan usaha berterusan dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar yang menyokong pembangunan mampan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta kesejahteraan komuniti bandar raya.
“Pengiktirafan ini mencerminkan kesungguhan DBKK dalam menjayakan agenda pembangunan bandar pintar di Kota Kinabalu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dan persekutuan ke arah bandar raya lebih lestari, moden dan berdaya saing.
“Kejayaan ini turut mengukuhkan peranan aktif DBKK sebagai peneraju utama pelaksanaan konsep bandar pintar di Sabah, seiring visi Sabah Maju Jaya dan gagasan Malaysia MADANI,” katanya.
Anugerah berprestij ini diterima oleh Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, disaksikan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya, Tantinny Fung Chew Li bersama-sama dengan pegawai-pegawai DBKK.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zaliha Mustafa.







