
MALAYSIA bersama negara anggota ASEAN hari ini menumpukan usaha memperkukuh kerjasama serantau melalui pengukuhan ekonomi digital, peralihan tenaga bersih serta ketahanan rantaian bekalan, sebagai langkah memastikan rantau ini kekal berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.
Perjalanan diplomasi itu diteruskan melalui lima sidang utama, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28, Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, dan Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Anwar Ibrahim dan PMO, hari ini.
“ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya.
Selain itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka mengadakan beberapa pertemuan dengan rakan pimpinan negara lain dan mengakhiri hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN dengan Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin ASEAN serta rakan-rakan dialog.
“Insya-Allah, dengan momentum yang dibina, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan, memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang membawa manfaat kepada seluruh rantau,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul menjelaskan bahawa hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan berjalan dengan lancar serta mencatat detik bersejarah buat Malaysia dan ASEAN.
Menurut beliau, semalam turut menyaksikan Timor-Leste diterima secara rasmi sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11, sekali gus melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.
“Semalam, kita telah mendengar ucapan dasar daripada Perdana Menteri, sewaktu Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di mana beliau menegaskan bahawa Malaysia telah memimpin ASEAN untuk kekal bersatu, relevan dan berpaksikan rakyat.
“Penyertaan rasmi Timor-Leste ini bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong penyertaan negara tersebut ke dalam ASEAN melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti,” katanya.
Selain penyertaan baharu itu, katanya, diplomasi keamanan turut mencatat sejarah apabila Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja berjaya ditandatangani dengan disaksikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian tersebut menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara dan merupakan kejayaan yang berakar daripada rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri pada Julai lalu.
“Langkah ini menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan, membebaskan tawanan, dan membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.
Semalam, Anwar turut mempengerusikan lima sidang kemuncak termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3, dan Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 yang berlangsung secara maya.
Menurut Tunku Nashrul, sidang-sidang tersebut berjaya menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama strategik ASEAN bersama rakan-rakan dialog, serta memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mampan.
“Ini sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap yang lebih berpengaruh di pentas global,” katanya.




