
KOTA KINABALU – Parti Tindakan Demokratik Sabah (DAP) masih belum memuktamadkan keputusan untuk menggunakan logo parti pada Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah akan datang.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, perkara itu masih dalam perbincangan melibatkan semua komponen di dalam Pakatan Harapan (PH).
“Kesemua strategi belum dimuktamadkan, sama ada penggunaan logo atau bentuk kerjasama, banyak faktor yang harus dipertimbangkan.
“Keputusan berhubung penggunaan logo bukan hanya bergantung kepada DAP semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pandangan parti komponen lain dalam PH.
“Sebelum ini, kami telah berbincang secara dalaman dan menunjukkan pandangan kami kepada parti komponen lain juga.
“Setakat ini, tiada apa-apa yang telah diselesaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Peringkat Sekolah Negeri Sabah di Horizon Hotel, pada Isnin.
Jelasnya, penggunaan logo bukan perkara utama kerana semangat kebersamaan dalam PH perlu diutamakan.
“Saya tidak mengatakan ya atau tidak sama ada DAP akan menggunakan logo parti sendiri.
“Bagi saya, logo tidak terlalu penting kerana semangat kebersamaan itu lebih utama.
“Saya berharap semua komponen dalam PH dapat mencapai kata sepakat dalam masa terdekat bagi memastikan keseragaman serta kekuatan gabungan menjelang PRU17,” ujarnya.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, DAP menghormati pendirian parti Warisan yang kini memilih untuk bergerak secara sendiri menjelang pilihan raya akan datang.
“Warisan mempunyai pendirian tersendiri dan kita menghormati keputusan itu.
“Namun dalam semangat MADANI, kita berharap semua parti di Sabah akhirnya dapat duduk bersama demi kepentingan rakyat,” katanya.





