
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kecaman berlebihan terhadap usaha rundingan damai antara Hamas dan Israel tidak akan membantu mewujudkan penyelesaian aman untuk Gaza.
Anwar berkata, pandangan keterlaluan yang dilontarkan sesetengah pihak, khususnya berkaitan pembabitan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan gencatan senjata, hanya akan merumitkan lagi usaha ke arah perdamaian.
Jelasnya, beliau semalam menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi untuk menyampaikan penghargaan atas peranan Mesir bersama negara Arab lain termasuk Turkiye yang membantu menghentikan serangan Israel ke atas Gaza.
“Saya beritahu apa kerunsingan saya, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara (dicadangkan Presiden Donald Trump), tapi saya dengar juga (pandangan) lain termasuk Hamas yang berunding dengan Israel.
“Jadi yang kita nak lebih daripada Hamas itu kenapa? Orang di situ termasuk Hamas yang berunding, sikap kita pula nak ajar lagi, sedangkan Hamas ini yang bertempur dengan ribuan sudah mati.
“Kita pula cakap jangan berunding dengan AS dalam rundingan yang turut disertai Mesir dan Qatar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat di Politeknik Merlimau, di Melaka, hari ini.
Tambah Anwar, sekurang-kurangnya rundingan yang dijalankan ketika ini berjaya menghentikan serangan berterusan rejim Zionis terhadap Gaza.
Dalam perbualan dengan pemimpin Mesir itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap kemungkinan Israel melancarkan serangan semula.
“Sisi memberitahu, Mesir akan adakan satu persidangan pada November depan dan beliau akan ambil perkara yang kita bangkitkan yang tak termasuk dalam 20 perkara (cadangan Trump).
“Ketika ini, trak bawa makanan sudah dibenarkan masuk, kita juga minta (Mesir membuka) laluan untuk sukarelawan kita masuk dan Sisi memberikan jaminan itu,” katanya.


