
LIMBANG – Dewan Suarah Limbang hari ini menjadi tumpuan apabila ratusan warga tempatan membanjiri ruang dewan bagi menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara dan Hari Kesihatan Mental Sedunia sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Limbang Tahun 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menyeru masyarakat agar terus memperkukuhkan amalan gaya hidup sihat serta memberi keutamaan terhadap kesejahteraan mental seiring dengan matlamat kerajaan ke arah Malaysia sihat sejahtera.
“Hari Sukan Negara merupakan platform penting bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.
“Ia bukan sahaja membina kesihatan fizikal, tetapi turut memperkukuh semangat kesatuan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Hari Sukan Negara di Dewan Suarah Limbang, hari ini.

Menurutnya, Hari Sukan Negara yang disambut setiap Oktober memberi peluang kepada rakyat pelbagai lapisan umur untuk terlibat dalam aktiviti sihat seperti senamrobik, pertandingan sukan, aktiviti kecergasan dan pelbagai acara riadah yang mampu memupuk kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup aktif.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan pada 10 Oktober setiap tahun.
Tema tahun ini, “Akses kepada Perkhidmatan – Kesihatan Mental dalam Bencana dan Kecemasan”, menekankan keperluan menyediakan sokongan serta rawatan kesihatan mental yang inklusif bagi mereka yang terkesan akibat bencana atau krisis kemanusiaan.
“Kesejahteraan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal sama ada situasi bencana atau kecemasan, ramai yang terjejas dari segi emosi dan psikologi.
“Maka, amat penting bagi kita memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada mendapat rawatan, sokongan dan maruah yang sewajarnya,” jelas beliau.
Datuk Hasbi turut menyentuh mengenai peningkatan statistik masalah kesihatan di Malaysia, termasuk kadar individu tidak aktif secara fizikal yang meningkat daripada 50.1 peratus pada tahun 2017 kepada 66.7 peratus pada tahun 2022, kadar obesiti juga meningkat sebanyak 10 peratus, manakala kadar kemurungan melonjak kepada 26.9 peratus pada tahun sama.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa meskipun kadar diabetes dalam kalangan dewasa menurun sedikit kepada 15.6 peratus pada tahun 2023, Malaysia masih berada dalam senarai negara dengan kadar prevalen diabetes tertinggi di rantau Asia Tenggara.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempergiatkan usaha melalui Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024–2030, yang berteraskan enam strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti bagi mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit.
“Melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), kerajaan berhasrat membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat dengan pendekatan whole-of-nation, iaitu penglibatan menyeluruh antara kerajaan, agensi, sektor swasta, NGO dan komuniti,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan sambutan Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan ANMS berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk memperkukuh amalan gaya hidup sihat dan minda sejahtera melalui lima domain utama iaitu aktiviti fizikal, minda sihat, pemakanan sihat dan selamat, pencegahan tingkah laku berisiko, serta kebersihan diri dan persekitaran.

Dalam ucapannya juga, Datuk Hasbi turut menyeru semua pihak agar memperluaskan aktiviti kesedaran dan pendidikan kesihatan ke peringkat komuniti, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Anak-anak kita perlu dididik sejak awal untuk membudayakan gaya hidup aktif dan cakna terhadap kesihatan mereka. Hanya dengan kesedaran dan amalan berterusan, kita dapat melahirkan generasi yang sihat, produktif dan sejahtera,” tambahnya.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Norliza Jusoh, Pengarah Hospital Limbang, Dr Nurain Yahya, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Rynnille Elsther Peter dan Ketua Polis Daerah Limbang, SUPT Parum Niot.





