PUTRAJAYA – Tindakan tatatertib perlu dikuatkuasakan terhadap mana-mana pentadbir pendidikan di semua peringkat yang didapati menyembunyikan kes salah laku murid atau guru.
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, keadaan semasa tidak lagi melibatkan salah laku ringan seperti bising di dalam kelas atau tidak menyiapkan kerja rumah.
Sebaliknya, beliau menegaskan, kesalahan dilihat telah menjurus kepada kes jenayah berat seperti buli, rogol dan bunuh dalam kawasan sekolah.
“Kita kena akui pendidikan sedang tenat dan mesti diambil tindakan. Bila salah laku sudah luar biasa, penyelesaiannya juga mesti luar biasa.
“Hari ini ramai ibu bapa semakin bimbang keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Murid-murid pula semakin takut nak pergi sekolah. Mereka dalam ketakutan.
“Oleh itu, kerajaan mesti bina kembali kepercayaan rakyat pada sistem pendidikan negara. Mesti ada solusi jangka pendek dan jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) berpandangan, antara solusi jangka pendek yang boleh dilaksana kerajaan adalah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah.
Pada masa sama, beliau berkata, terdapat keperluan untuk menjalankan audit keselamatan di samping mengenal pasti ibu bapa dan murid berisiko bagi menghadiri sesi kaunseling dengan kaunselor bertauliah.

“Bagi solusi jangka panjang, keperluan memperkasakan penglibatan ibu bapa di sekolah serta mengutamakan pendidikan keselamatan, kesihatan dan sahsiah bermula di sekolah rendah.
“Kaunselor bertauliah juga perlu ditempatkan dengan nisbah satu kaunselor bagi setiap 250 murid,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan tandas perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 9.30 pagi, suspek, seorang pelajar lelaki tingkatan dua, dilaporkan membawa senjata tajam berupa pisau.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan, pelajar lelaki tersebut telah ditahan pada Selasa.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sebuah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk menyiasat semua aspek secara tuntas, telus dan adil dalam kes terbabit.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, bagi membantu siasatan, pentadbir sekolah yang terlibat juga akan dipindahkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan selesai dijalankan.




