
PARTI Bersatu terus bergolak apabila telah memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan, manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama sepenggal.
Lambaga Disiplin Bersatu dalam kenyataan berkata, empat pemimpin akar umbi turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Keputusan penggantungan dan pemecatan tersebut telah diambil oleh lembaga disiplin parti tersebut.
“Sehubungan itu, lembaga disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden-responden untuk sesi pendengaran pada 8 Okt dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” kata Lembaga Disiplin Bersatu, hari ini.
Responden juga didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu dan kod etika dan tatakelakuan parti.
“Lembaga disiplin membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah.
“Lembaga disiplin juga menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya mematuhi perlembagaan dan peraturan demi menjaga nama baik parti,” katanya.
Wan Saiful telah mengkritik setiausaha agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali dan menjelaskan langkah pengumpulan akuan berkanun telah diputar belit.
Ketika dipanggil Lembaga Disiplin minggu lalu, beliau memberi amaran agar beliau tidak ditekan.
Wan Saiful, 50, juga mendakwa mereka tahu ada individu dalam Bersatu yang memperoleh wang sehingga berjuta-juta ringgit daripada pihak lain.







