
LAHAD DATU – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kenderaannya yang parkir di hadapan Masjid Mesej Nala, Tungku, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 12.55 tengah hari berhubung penemuan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.
“Polis dari Balai Tungku bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Jimmy, pemeriksaan awal pada mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
“Berdasarkan keterangan saksi, beliau sebaik solat melihat sebuah kereta di parkir berkenaan dan pemandunya seperti tidur. Namun setelah mengetuk cermin kereta, tiada tindak balas.
“Saksi bertindak membuka pintu kereta dan mendapati mangsa meninggal dunia sebelum segera melaporkannya kepada polis dan Pejabat Kesihatan Tungku untuk bantuan,” katanya.






