ambulans
LIPIS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan situasi semasa jangkitan wabak Influenza di negeri ini masih lagi di peringkat terkawal dan tidak membimbangkan.
Beliau berkata, pihak Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang laporan yang menunjukkan peningkatan ketara kes berkenaan, namun mengesahkan terdapat kes dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
“Saya dimaklumkan setakat ini keadaan masih di peringkat terkawal, setakat ini saya masih tidak menerima apa-apa maklumat (sebarang penutupan sekolah).
“Nasihat saya supaya masyarakat sentiasa menjaga kesihatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat berisiko,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau turut menasihatkan supaya individu yang kurang sihat untuk segera ke klinik bagi pemeriksaan.
“Jangan menunggu hingga serius baharu hendak ke klinik kerana kita sahaja dapat merasa keadaan kesihatan badan kita, jadi kalau rasa tak sedap badan teruslah pergi ke klinik,” katanya.


