
KOTA KINABALU – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyatakan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, mereka menegaskan bahawa kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan yang perlu dikekalkan di bawah Kerajaan Negeri Sabah ketika ini.
“Kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami.
“Kami percaya bahawa sebarang keputusan berkaitan dengan hala tuju parti wajar dibincangkan dengan teliti demi kepentingan rakyat dan negeri,” jelas kenyataan itu.
Lima ADUN berkenaan ialah Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).
Pada Isnin, empat daripada mereka dilihat hadir pada majlis perjumpaan bersama Hajiji di Menara Kinabalu bersempena pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Terdahulu, memetik laporan Sinar Harian pada Selasa, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memberi tempoh sehingga Rabu, hari ini kepada kelima-lima ADUN tersebut untuk kembali ke pangkuan parti.
Jeffrey berkata mesyuarat akan diadakan bagi memutuskan pengganti kepada lima ADUN terbabit dan menegaskan ramai calon lain telah pun bersedia untuk mengambil alih.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh seminggu telah diberikan dan separuh daripada masa itu telah pun berlalu.
Katanya lagi, memandangkan kerusi berkenaan adalah milik parti, kerusi tersebut akan diserahkan kepada calon baharu sekiranya tiada perubahan.







