
“DIA memang tidak sabar mahu ke Gaza,” kata suami kepada aktivis kemanusiaan dan selebriti Heliza Helmi, ketika menceritakan perbualan terakhir bersama isterinya sebelum subuh pada Khamis.
Menurut Mahadi Badrul Zaman, Heliza sempat membuat siaran langsung sebelum subuh dan selepas itu masih dapat dikesan dalam aplikasi WhatsApp dengan tanda ‘double tick’, namun tiada perkembangan terbaharu diketahui setakat ini.
“Semua ahli keluarga bertanya. Kali terakhir kami berbual, dia sangat teruja dan tidak sabar untuk sampai ke Gaza,” ujarnya ketika ditemui pada Himpunan Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau turut merayu orang ramai agar sama-sama mendoakan keselamatan isterinya serta semua sukarelawan yang terbabit dalam misi kemanusiaan ke Gaza agar dipulangkan dan dibebaskan tanpa syarat.

Terdahulu, seramai 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel selepas kapal mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang menyertai misi berkenaan.
Beliau mengesahkan menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia berhubung tindakan rejim Zionis Israel yang memintas konvoi kemanusiaan itu ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Anwar menegaskan, misi berkenaan adalah misi kemanusiaan semata-mata, membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan penting yang amat diperlukan rakyat Gaza.






