
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan tertutup dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada petang Khamis.
Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam 30 minit apabila kenderaan rasmi Hajiji dilihat memasuki kawasan istana sekitar pukul 5 petang sebelum beredar keluar pada pukul 6.30 petang.
Selepas beredar dari istana, Hajiji difahamkan beredar ke kediaman rasmi beliau di Sri Gaya.
Sementara itu, pengamal media yang menunggu di pintu masuk Sri Gaya bagi membuat liputan diminta pihak keselamatan untuk meninggalkan kawasan berkenaan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Istana Seri Kinabalu mahupun Jabatan Ketua Menteri berhubung pertemuan tersebut.
Pertemuan tersebut mencetuskan perhatian memandangkan ia diadakan ketika tumpuan sedang terarah kepada perkembangan politik semasa negeri Sabah.
Dalam perkembangan terdahulu, dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sah tidak lagi bersama GRS selepas memutuskan untuk bertanding secara solo menggunakan lambang parti maasing-masing pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang berlangsung tidak lama lagi.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Hajiji yang juga merupakan Pengerusi GRS.






