
DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis sukarelawan Malaysia dan antarabangsa yang ditahan Israel dalam misi kemanusiaan ke Gaza dibebaskan.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan berusaha melakukan apa sahaja yang dapat membebaskan aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza dibawah kumpulan sukarelawan dikenali Global Sumud Flotilla.
“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera! Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza. Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Setakat pukul 8.30 pagi, media antarabangsa melaporkan 12 aktivis GSF warganegara Malaysia telah ditahan tentera Israel.
Pada masa sama, Anwar membidas tindakan Israel yang menyekat misi kemanusiaan ke Gaza itu yang sekali gus tidak memperdulikan desakan masyarakat dunia yang menentang kezaliman ke atas rakyat Palestin.
‘Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
“Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya melibatkan rakyatnya.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” katanya.




