
SANDAKAN – Penduduk Sandakan hari ini mula menikmati subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan ramai pengguna melahirkan rasa syukur dan menghargai usaha kerajaan.
Pekerja swasta, Anis Sofea Idris, 21, berkata, dia sangat gembira kerana buat pertama kali dapat menikmati subsidi tersebut yang menurunkan harga petrol daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter.
“Saya rasa sangat beruntung, lebih-lebih lagi bagi rakyat B40.
“Subsidi ini wajar diteruskan kerana ia banyak membantu rakyat dalam urusan harian seperti ke tempat kerja dan menghantar adik-beradik ke sekolah.
“Bagi saya sebagai generasi Z, kaedah penggunaannya sangat mudah menggunakan aplikasi Setel di stesen Petronas.
“Malah, ibu bapa saya yang sudah berusia juga lebih selesa guna aplikasi ini berbanding perlu ke kaunter menunjukkan kad pengenalan (MyKad),” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press, di Stesen Petronas Lintas Labuk, Batu 8, di sini pada Selasa.

Anis turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan MADANI kerana memperkenalkan program ini yang dianggap sangat bermanfaat.
Sementara itu, penjawat awam, Lisma Wati Abu Bakar, 42, turut berkongsi keterujaan apabila pertama kali mencuba subsidi berkenaan.
“Saya sokong kaedah pelaksanaan ini kerana ia lebih berfokus kepada warganegara yang memiliki MyKad dan lesen memandu.
“Subsidi ini saya harap dapat diteruskan bukan hanya sementara tetapi untuk jangka masa panjang,” katanya.
Bagi pelajar, Mohd Danish Daniel, 20, walaupun jumlah penjimatan hanya enam sen seliter, namun dia tetap menghargai inisiatif kerajaan.
“Walaupun tidak banyak, ia tetap membantu rakyat.
“Saya berharap subsidi ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Terima kasih kepada PMX dan Kerajaan MADANI,” katanya.





