
TAWAU – Seorang lelaki warga emas cedera melecur pada bahagian tangan dalam insiden kebakaran membabitkan lapan buah rumah setinggan di Kampung Hidayat Jalan Apas, di sini, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, lelaki berumur 71 tahun berkenaan dihantar ke Hospital Tawau menggunakan EMRS Bomba untuk rawatan lanjut.
“Bomba menerima panggilan pukul 11.50 pagi sebelum lebih 20 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela Titingan bergegas ke lokasi.
“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ satu aliran dua pancutan 400 kaki menggunakan sumber air dari jentera dan ‘water tanker’,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurut Jemishin, kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan dan dianggarkan 350 buah rumah serta sebuah kilang papan berhampiran berjaya diselamatkan daripada terlibat dalam kebakaran.
Operasi kemudian tamat pukul 2.15 petang.






