
KOTA KINABALU – Rakyat disarankan untuk membuat penilaian kepada calon Ketua Menteri Sabah yang akan dipilih pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) ini berdasarkan prestasi mereka di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rakyat perlu melihat sejauh mana calon itu merubah kawasan yang diwakili setelah berpuluh tahun berkhidmat.
“Bagi saya salah satu penilaian penting yang rakyat perlu buat ialah melihat calon-calon potensi ketua menteri ini adalah melihat prestasi di kawasan mereka masing-masing.
“Sejauh mana mereka mampu merubah kawasan mereka sejak berpuluhan tahun mereka menjadi wakil rakyat.
“Bagaimana kalau mereka kata mereka mahu selamatkan Sabah mahu buat perubahan untuk Sabah,” katanya dalam sidang media Sempena Hari Bertemu pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Jelasnya, rakyat perlu melihat apakah perubahan, pencapaian dan potensi yang dicungkil di kawasan mereka memandangkan setiap kawasan di Sabah mempunyai potensi besar.
“Saya fikir mana-mana tempat di Sabah ini ada potensi besar. Sejauh mana mereka telah membawa potensi, mencungkil potensi yang ada di kawasan mereka wakili untuk membuat perubahan dari segi pembangunan dan juga sosioekonomi masyarakat di kawasan masing-masing.
“Jadi saya harap kita faham ya, ada yang jadi Ahli Parlimen Semporna pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ada yang Ahli Parlimen Kinabatangan jadi ADUN, jadi nilailah kawasan mereka masing-masing sebelum kita mendengar janji-janji mereka untuk membuat perubahan kepada negeri yang besar ini,” ujarnya.
Justeru, sarannya ketika ada yang sibuk berkempen, rakyat Sabah boleh mengambil kesempatan untuk melawat kawasan yang diwakili calon-calon Ketua Menteri.
“Tanyalah penduduk setempat, teliti maklumat atau ikuti perkongsian mengenai kawasan tersebut bagi menilai sendiri prestasi sebenar wakil rakyat berkenaan.
“Bolehlah melancong ke kawasan-kawasan tersebut tanyalah rakyat di kawasan tersebut, google-google lah lihat-lihatlah cerita di kawasan-kawasan yang diwakili orang-orang yang menganggap mereka adalah calon-calon ketua menteri yang terbaik,” tambahnya.





