
KOTA KINABALU – Perkhidmatan BAS.MY mula beroperasi secara berperingkat di sekitar Kota Kinabalu mulai Oktober dengan menawarkan perjalanan percuma sehingga Januari 2026 sebelum beroperasi sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada peringkat awal tiga buah bas akan beroperasi dengan memberikan perjalanan percuma sehingga Januari.
“Keseluruhan 48 buah bas moden akan digerakkan secara berperingkat melibatkan lapan laluan utama di Kota Kinabalu.
“Sebanyak RM17.6 juta setahun atau RM88 juta secara keseluruhan selama lima tahun diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif Program Transformasi Bas Berhenti-henti di bandar raya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) di KK Sentral di sini, pada Sabtu.

Katanya lagi, BAS.MY diberi nafas baharu menerusi dengan reka bentuk bas berwarna merah jambu bertujuan memudahkan orang ramai mengenali serta menarik minat generasi muda menggunakan pengangkutan awam.
“Perkhidmatan bas tersebut menampilkan pelbagai ciri moden antaranya ialah sistem pemantauan GPS secara masa nyata, sistem pembayaran tanpa tunai atau e-tiket, kamera litar tertutup, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Sebelum ini, perkhidmatan bas berhenti-henti di sekitar Kota Kinabalu banyak diusahakan oleh pihak persendirian.
“Kita tidak akan kacau dan mereka masih boleh beroperasi tidak ada masalah kerana ada kawasan jauh seperti Tuaran yang bergantung kepada perkhidmatan sedia ada ini.
“Untuk pihak pengusaha pesendirian mereka tak boleh berjalan mengikut jadual kerana ada kekangan kadang-kadang kalau tidak cukup penumpang mereka jalan, mereka rugi,” katanya.
Tambahnya lagi, BAS.MY akan menawarkan perkhidmatan tambang percuma kepada golongan OKU, warga emas, pelajar sekolah dan mahasiswa, dengan sekali bayar RM10 untuk mereka mendapatkan kemudahan kad konsesi bagi menikmati akses pengangkutan awam itu.
“Bagi pengguna lain mereka hanya perlu membayar RM50 untuk perjalanan tanpa had di kesemua lapan laluan BAS.MY Kota Kinabalu bagi tempoh 30 hari,” katanya.





